Memaparkan catatan dengan label Abah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Abah. Papar semua catatan

Khamis, Januari 20, 2011

On my study table~

on my desk
Notice the picture frame? That was my late father and I when I was about 1 year old. Miss him so much. Bila dpt jumpa abah lagi? Hmm….

signature

Khamis, Januari 28, 2010

159. Caca marba

Minggu ini adalah minggu kurang berinternet. Kebanyakan masa saya luangkan membawa emak ke Kuala Selangor melihat kebun, membaca novel 'The Learning Curve' by Melissa Nathan, menangani masalah keluarga {ingatkan tahun 2010 tiada masalah emosi berat) dan lain-lain chores yg biasa dibuat. Sudahnya internet saya biarkan saja. Oh ya.. semalam saya ke Karnival MPH di Stadium Malawati juga (nanti saya buat entri khusus tentang itu).

Minggu ini juga saya isytiharkan sebagai minggu kurang motivasi belajar saya. Sebabnya hari ini baru saya terhegeh-hegeh membelek artikel yg perlu di summarize utk class discussion. Pembahagian subtopics pun baru buat semalam.

Pejam celik pejam celik sudah lebih 3 bulan abah meninggalkan kami di rumah (saya kata di rumah sbb abah cuma 'pergi' kepada Pencipta lebih awal sahaja dan bukan meninggalkan kami secara total). Saya lihat emak sudah tidak SANGAT FRAGILE seperti dulu. Sudah mula kelihatan tenang dan memulakan hobi baru iaitu membaca kitab-kitab agama peninggalan abah. Sekarang sudah menjadi kebiasaan emak bercerita pada saya perihal hadith yg dibaca. Pendek kata saya adalah tempat emak berdakwah sekarang. He he he...

Esok saya ke UM lagi. Harap-harap perjalanan pergi dan balik cuaca baik. Tidak hujan lebat seperti minggu lepas. Minggu lepas hujan terlalu lebat hingga sukar melihat kereta di hadapan. Oh.. ini mengingatkan saya utk membeli payung kecil utk diletakkan dlm beg sekolah pink saya. Ish ishhh.. macam mana boleh lupa ni!

Isnin, November 30, 2009

140. Dear diary

Ececehh.. tajuk cam real je.

Ok. Meh cerita. Apa nak cerita eh? Cerita aidil adha?

Aidil adha tahun ni macam yg lepas lepas jugak. Perasaannya seperti biasa sahaja. Cuma kali ini bertambah kosong sbb abah dah tiada. Kalau dulu pagi raya boleh tatap wajah abah. Masa makan ke. Masa duduk duduk ke. Sekarang semua tu tak ada.

Kami rancang nak buat kenduri arwah pada hari Sabtu atau Jumaat yg lalu. Tapi bila fikir balik sedalam-dalamnya saya dan emak buat keputusan hantar makanan ke surau dan masjid sahaja. Mak kata pahalanya sama. Kalau nak jemput orang datang ke rumah macam payah juga sbb orang mesti balik kampung. So mesti tak ramai orang yg boleh hadir. Jadi kami decide masak dan packing nasi lemak dan air mineral hantar kepada orang-orang yg buat kerja-kerja korban.

Jadi pepagi hari Sabtu lepas kami sekeluarga pakat gotong-royong packing nasi lemak. Anak-anak buah saya Farhani, Fatiyah dan Fadilah pun sama bantu (cececehhh.. suke la tu nama masuk blog kan :p). Hehehe.. alamak! Lupa pulak ambil gambar masa tengah ramai-ramai tu kan. Ruginye..

Lepas habis packing semua saya dan adik-beradik yg lain hantar ke surau berdekatan sebanyak 50 bungkus. Lepas tu hantar 50 bungkus lagi ke masjid di seksyen 16 sbb kami buat ibadah korban di situ. Bangah kata orang masjid tu terus edarkan makanan kami tu kepada orang-orang yg bekerja. Laku macam pisang panas. Alhamdulillah.. harap-harap pahalanya sampai pada abah.

Abah, semoga abah tenang di sana. Kami, anak-anak abah akan usaha buat pahala utk abah. Insyaallah.. apa saja utk abah tahu.. lepas ni nak beli Quran pula utk diwakafkan pada masjid-masjid yg pernah abah mengajar dulu. Nanti perlahan-perlahan kami usahakan ya. Pusara abah pula nanti 100 hari mak buat cantik-cantik ya. Sekarang mak dah suruh orang tu letak papan. Abah, abah tunggu kami di situ ya.. Insyaallah bila tiba masa kita jumpa lagi. Abah, saya akan cuba kuat utk hidup sendiri tanpa doa abah sekarang. Dulu abah selalu doakan anak-anak kan.. sekarang macam kata mak kena pandai pandai hidup sendiri. Abah, saya sayang abah tau..

Petang Sabtu tu lepas selesai semua perkara saya dan emak bersama Farhani, Fatiyah dan Fadilah ke Mydin USJ utk membeli telekung bebudak. Kasihan Fadilah tak dapat bawak balik telekung sbb kainnya hilang. Jadi terpaksa cancel. Nanti kena cari telekung lain utk Fadilah. Emmm .. sebut pasal telekung tetiba teringat byk telekung dan kain pelikat belum wrap lagi utk disedekahkan pada anak-anak buah abah.

Hari ni dah 30 Nov.. bermakna wedding adik saya hanya tinggal lebih kurang 15 hari sahaja. Tolak hari nikah, hari menggantung dan bla bla bla. Rumah masih belum ready. Saya pulak beberapa hari ni macam kurang sihat. Macam nak semput pun ya. Maklumlah rumah penuh dengan habuk sana sini.

Oklah.. saya stop di sini dulu. Nanti cerita lagi.

Khamis, November 05, 2009

130. Merdeka yg tidak merdeka

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Sudah habis exam maka sudah merdeka.

Seusainya saya menulis kertas peperiksaan tadi saya terus keluar dari bilik peperiksaan. Perkara pertama yg saya buat adalah menelefon emak di rumah.

"Hello.."

"Hello.. haa.. dah?" Seperti selalu itulah ungkapan pertama emak setiap kali saya usai peperiksaan.

"Dah.. nak balik dah ni"

Sewaktu di dalam kereta saya teringat abah. Selalunya bila saya pulang saya akan membeli makanan kegemaran abah. Dan selalunya abah akan menunggu kepulangan saya. Sama ada di depan pintu. Atau pun di ruang keluarga di kediaman kami.

Tapi hari ini, kepulangan saya hanya di nanti emak seorang. Menyedari hakikat ini saya menangis sekuat hati di dalam kereta.

"Abah.. orang dah habis periksa", kata saya sambil menangis.

Menyedari diri hampir hilang kawalan saya lantas membaca al-Fatihah berulang kali.

Dan benarlah, kuatnya saya sekadar menunggu selesainya exam.

Dan kini airmata berderai lagi.

Selepas membaca yasin sebentar lagi saya dan emak ada misi mengemas bilik tidur abah ini.

Jumaat, Oktober 30, 2009

126. Nukilan seorang anak

Abang saya yg sulung menukilkan ini di blognya. Saya copy paste utk bacaan dan kenangan di blog saya. (Kerana utk menulis sendiri saya masih tidak berdaya)


SAAT-SAAT TERAKHIR BERSAMA ABAH


Pagi 24 Oktober 2009 kira-kira jam 5.30 sebelum azan Subuh, aku menerima sms dari adik perempuanku Busyra (Ini saya. Saya segara menelefon abang saya ini kerana doktor sudah memberitahu saya terlebih dahulu bahawa abah sedang tenat dan minta ahli keluarga berkumpul dan bersedia). Sms yang begitu pendek namun mengesankan iaitu abah tenat..aku tidak membalas lantas terus memadamkan handset supaya lebih cepat bateri dicas sebagai persediaan untuk pulang ke Shah Alam bersama seluruh ahli keluargaku termasuk bibik yang akan menemani di sepanjang perjalanan. Pesanan suara memperdengarkan suara adikku memaklumkan abah tenat dan meminta pulang segera sambil teresak-esak.


Kira-kira jam 6.30 pagi, kami bertolak dari rumah. Perjalanan ke Shah Alam hanya berhenti di R & R Machap kerana anak-anak tidak sempat bersarapan di rumah. Berhenti sekali lagi di Restoran Jejantas Ayer Keroh untuk berehat dan menenangkan fikiran sambil menunaikan hajat.


Kami sampai di Selangor Medical Centre (kini KPJ Selangor), Seksyen 20, Shah Alam kira-kira jam 12 tengahari. Abah terlantar di Wad 2A iaitu wad kanak-kanak dan dia ditempatkan di situ kerana wad kanak-kanak mempunyai lebih banyak bilik untuk seorang pesakit sahaja berbanding wad-wad yang lain di hospital swasta itu.


Aku bersalam mencium tangan seperti biasa dengan abah yang terlantar di atas katil diikuti oleh isteri dan tiga orang anak-anakku. Abah masih sedar dan menyebut hilang rasa rindu pada cucu-cucunya. Selepas itu, ada sahabat-sahabat dan jiran-jiran yang menziarahi. Aku dan adik-adik yang lain berada di sekeliling abah dan sesekali kami menunggu di lobi Aras 2 untuk memberi laluan kepada mereka yang datang menziarah.


Kira-kira jam 6.30 petang, doktor yang merawat melakukan pemeriksaan. Setelah doktor keluar, aku disuruh oleh ibu untuk bertanyakan doktor perkembangan semasa dan bagaimana rawatan berikutnya.


Tanya doktor berapa orang adik beradik. Aku jawab empat orang. Kata doktor, this is the time to tell everyone. Aku jawab we are all here. Abah akan dibawa semula ke ICU dan kemudiannya adik perempuanku memberitahu sebelum ini abah dibawa keluar dari ICU dan dibawa ke wad 2A hanyalah semata-mata untuk memberi peluang kepada kami anak-anaknya yang sangat dikasihinya dan isterinya menghabiskan masa bersamanya di saat-saat akhir. Tapi sepanjang waktu itu, abah masih sedar, masih ingat cucunya dan selalu menanyakan bila masuk waktu solat. Ingatannya kepada solat sangat kuat hinggakan saban waktu asyik bertanyakan waktu solat dan keinginannya untuk solat. Apa yang disedari jari-jari tangan kanannya seperti memegang tasbih dan sesekali mengangkat tangannya seolah-olah membetulkan tasbih.


Kami menunggu di ruang menunggu ICU Aras 1 dan masuk ke bilik ICU bersilihganti. Aku membaca Yasin bersama adik-adikku tanpa jemu dan bagaikan ada kekuatan untuk terus membaca surah tersebut berulangkali walaupun ada tamu yang datang menziarahi. Perkara yang lain tidak penting, hanya bacaan Yasin sahaja yang mampu aku lakukan selain berserah kepada Allah Yang Maha Kuasa.


Kira-kira jam 10.00 malam, aku keluar ke ruang menunggu ICU untuk melihat isteri dan anak-anakku. Anak-anakku sedang tidur keletihan dan isteriku memberitahu mereka lapar dan akhirnya tertidur. Aku menyuruh isteriku mengejutkan mereka dan membawa mereka makan malam di Restoran Syedina, Seksyen 9, Shah Alam berhampiran rumah kami. Kasihankan anak-anakku yang kelaparan, kami memesan makanan segera maggi sup mengalas perut anak-anak yang tidak tahan seperti kami orang dewasa.


Sedang kami makan, telefon bimbit berdering dari adikku Busyra menyuruh masuk ke bilik ICU. Aku menghantar anak-anak ke rumah dan meninggalkan mereka di sana bersama nenek saudara mereka dengan ditemani bibik..


Aku dan isteri terus ke hospital dan sesampainya sahaja di sana, aku dan isteriku tanpa membuang masa masuk ke bilik ICU. Kami membaca Yasin bersama adik-adik dan bersilihganti membisikkan ke telinga abah: "Allah! Allah!" Sambil mata kami memantau monitor yang memberitahu denyut jantung, nadi, oksigen, tekanan darah dan sebagainya.


Aku turun ke bawah Aras G akibat keletihan dan terlena seketika di sofa. Pak Guard turut bersimpati tidak menegur kerana itu adalah kawasan larangan untuk tidur. Kakitangan hospital seakan turut berkongsi kesedihan dengan kami.


Jam 3.30 pagi, telefon bimbit berdering, adik perempuanku menyuruh naik. Aku terus hilang mengantuk dan terus menaiki tangga ke Aras 1 ICU. Bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinga abah silihberganti. Keadaan abah nampaknya semakin tenat. Sejak saat itu, kami semua tidak berganjak dari katil abah. Apabila aku sedari adikku Fakhruzzaman tidak ada di bilik ICU, aku terus menghubungi telefon bimbitnya. Aku mahu pastikan semua anak-anak abah berada di sisinya. Pada ketika itu, dua orang sepupuku masih berada di situ.


Masuk jam 4.00 pagi, nampaknya keadaan abah semakin tenat. Kami terus dengan bacaan Yasin dan bisikan kalimah Allah ke telinganya. Masa terus berlalu, kami menahan airmata kerana angka-angka di monitor abah semakin menampakkan abah semakin uzur. Bacaan tekanan darah di monitor semakin lemah.


Bacaan oksigen sudah dari tadi memaparkan tanda soal. Kadang-kadang menunjukkan nombor bertukarganti 96, 97, 101 tidak menentu.. Selalunya tanda soal. Kira-kira 4.30 pagi, bacaan di bawah sekali menunjukkan angka 0 berkelip-kelip. Adik perempuanku menangis sambil menyebut abah, adik lelaki bongsu terus membisikkan kalimah Allah, adik yang satu lagi membaca Yasin. Apabila monitor menayangkan yang paling akhir berkelip ialah bacaan yang paling atas menandakan hanya jantung sahaja berfungsi sementara yang lain-lain tidak, kami semakin tidak dapat menahan rasa sebak yang amat sangat. Jam 4.45 pagi, 25 Oktober 2009, abah menghembuskan nafas terakhir. Kembalinya seorang ulamak Negeri Selangor. Perjuangannya memartabatkan dan memperkasakan sekolah-sekolah agama Negeri Selangor juga dirakamkan dalam Wikipedia, ensaiklopedia terkenal di internet. Tangisan semakin tidak dapat ditahan-tahan. Doktor memeriksa abah dan memaklumkan,"Dia dah tak ada ya.." Ibu hampir rebah. Adik perempuan menahan dan mendudukkannya di atas kerusi. Aku mengambil Surah Yasin dari tangannya. Sebagaimana hajat abah, rupanya hanya kami empat orang anak-anaknya, seorang menantu dan isterinya, seramai enam orang semuanya berada di sisinya hingga ke saat-saat akhir.


Kami keluar kerana urusan pihak bilik ICU. Tak lama kemudian, azan Subuh berkumandang memecah keheningan pagi. Aku terus menaiki tangga ke Aras 2 menunaikan solat sunat sebelum Suboh dan Solat Suboh bersama dua orang lagi di surau itu.


Adik bongsuku menghubungi van jenazah Surau Seksyen 9. Kami mengiringi jenazah abah. Selain aku dan adik bongsu mengangkat jenazah abah ke dalam kereta jenazah, turut membantu ialah seorang jururawat, seorang attendant dan pak guard. Dato' Bakar sebelum itu menghubungi ku menanyakan di mana jenazah samada sudah keluar dari ICU atau belum.


Ramai orang sudah menunggu di rumah Seksyen 9, antaranya Dato' Nahwari anak murid abah yang juga bekas Pengarah JAIS dan Dato' Tamyez Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Jenazah diangkat turun dari van dan diletakkan di atas katil di dalam rumah. Van menuju ke surau seksyen 9 untuk mengambil tempat serta peralatan mandi. Tidak lama kemudian, van Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor pula sampai.


Setelah segalanya tersedia, jenazah abah dimandikan dan kami tiga orang anak lelakinya bersama-sama memandikannya. Jenazah abah kelihatan tenang seolah-olah sedang tidur sahaja. Setelah selesai mandi, jenazah diangkat ke dalam rumah untuk dikapankan.


Hanya tinggal muka jenazah abah sahaja yang belum ditutup. Pada saat itu, adik perempuanku Busyra mencuit dan memberi isyarat ke arah jenazah, aku memujuknya yang menangis tidak dapat menahan kepiluan.


Tibalah masa untuk menatap wajah abah buat kali terakhir. Ibu mencium dahi abah. Saudara-mara menyabarkan. Aku yang telah dari tadi tidak menangis kini tidak dapat menahan sebak di dada mengenangkan selepas ini tiada lagi kesempatan untuk menatap wajah abah. Aku mengambil kain mengelap airmata dan setelah reda terus mengucup dahi abah buat kali terakhir. Isteri dan anak-anak mencium dahi atuk mereka. Kami semua dapat mencium dahi abah alhamdulillah tidak ada yang ketinggalan seorang pun.


Jenazah disolatkan dengan diimamkan oleh adik bongsu kami, Imam Basyiruddin al-Hafiz. Terdengar suara Ustaz Basyiruddin al-Hafiz yang teresak-esak sewaktu mengimamkan solat. Tercapailah hasrat abah untuk anaknya sendiri mengimamkan solat jenazahnya. Ruang yang luas dipenuhi dengan tetamu yang menyembahyangkan. Doa dibacakan oleh Dato' Hj Hashim Yahya, bekas Mufti Wilayah Persekutuan, sahabat abah ketika menuntut di Mesir lagi.


Tibalah waktu jenazah abah dibawa ke tempat persemadiannya di Seksyen 21, Shah Alam. Saat jenazah diusung ke dalam van Masjid Negeri, aku berucap mengucapkan terima kasih kepada sekelian yang hadir, mohon kemaafan sekiranya ada kesilapan abah, halalkan makan minumnya, kalau ada hutang kalau boleh dihalalkan atau kalau ingin menuntut boleh menuntut kepada waris dan mohon turut mendoakan kesejahteraan abah dalam perjalanan alam yang berikutnya. Suaraku juga teresak-esak tidak dapat membendung kesedihan.


Aku menaiki van jenazah Masjid Negeri di kerusi hadapan sementara adikku Fakhruzzaman bersama jenazah abah di belakang dengan seorang lagi sepupu kami, Ibnu Zakuan.


Sampai sahaja di perkuburan, kami mengangkat jenazah abah turun dari van menuju ke tempat persemadian. Adikku Fakhruzzaman menyambut jenazah abah dari bawah dan bersemadilah abah dengan aman di sana. Cuaca begitu baik dan sejuk tidak panas membakar menandakan segalanya aman dan sejahtera.


Talqin dibaca oleh Imam Masjid Sultan Salahuddin Abd Aziz Shah, Masjid Negeri Selangor dengan penuh adab. Suara imam dan sebutan nama abah dibacakan sebagai 'saudaraku' begitu menusuk perasaan. Kami sudah tidak menangis lagi merelakan pertemuan abah dengan Allah Penciptanya yang sangat abah kasihi dan rindui. Disaat-saat akhir, abah selalu menyebut Rasulullah s.a.w. membuktikan kecintaannya kepada Rasul. Demikian disebutkan oleh Ustaz Rizal seorang ustaz tariqat yang menziarahi abah semasa di wad 2A. Kami anak-anaknya berbahagia kerana abah kami amat taat kepada perintah Allah semasa hayatnya. Kami amat lega kerana abah sangat kuat kecintaannya kepada syariat tanpa takut kepada sesiapa termasuk dalam memberikan pendapat berdasarkan wahyu Ilahi dan sunnah Rasul. Allah Yang Maha Pengasih telah menunjukkan buktinya kepada kami semua.


Talqin dan tahlil telah sempurna. Imam Masjid Negeri yang duduk di hadapanku mengucapkan takziah dan minta bersabar. Kami taburi pusara abah dengan bunga dan siraman air mawar. Selepas itu, empat orang pemuda berjubah putih setelah bersalaman dengan kami dan adikku Fakhruzzaman mengenalinya sebagai bekas pelajar Sekolah Agama Hishamuddin, Klang akan melakukan solat jenazah di atas kubur. Ustaz itu berkata,"Memang dia rindu". Aku bertanya "Rindu Apa?" Dia menjawab". "Dia (abah) rindu Allah. Sakitnya selama ini pun kerana rindunya kepada Allah." Sekali lagi aku lega kerana ustaz berjubah putih itu mengatakan begitu mengenai abah kami.


Kami berjalan menuju ke van untuk pulang ke rumah. Kelihatan Tuan Haji Mohd Uda bin Kassim, seorang pendakwah bebas terkenal di Selangor dan seluruh negara bersama isteri dan anaknya berjalan menuju ke pusara abah. Aku dan adikku Fakhruzzaman bersalam dengan Ustaz Uda. Jenazah abah telah selamat disemadikan namun masih ada orang yang menyembahyangkan serta mendoakannya. Syukur Ya Allah! Segala perjalanannya menemui Mu, Engkau telah mudahkan dan kami lihat dengan matakepala kami sendiri ramai orang-orang yang saleh dari kalangan ustaz, pendakwah dan mereka yang berjuang untuk Islam turut sama menziarahi, menyembahyangkan dan mendoakan roh beliau. Sungguh baik pengakhiran ini Ya Allah! Tiada apa lagi yang dapat kami katakan melainkan Alhamdulillah, syukur pada Mu Ya Allah atas reda Mu terhadap keluarga ini.


Hajat abah untuk mengumpulkan kami semua anak-anaknya tercapai. Kami berenam sahaja yang berada di sisinya hingga ke denyut nadi terakhir sedangkan peraturan ICU hanya membenarkan seorang sahaja pelawat berada di situ pada satu-satu masa. Namun ketentuan Ilahi melampaui peraturan manusia. Kakitangan hospital termasuk pak guard memahami perasaan kami. Takziah mencurah-curah dari kakitangan SMC sendiri.


Tahlil tiga malam berturut-turut untuk abah. Malam pertama bacaan Yasin dan tahlil diketuai oleh Sheikh Sham, malam kedua oleh Tuan Haji Mohd Uda Kassim dan malam ketiga pula diketuai oleh Sahibus Samahah Dato' Hj Hashim Yahya.


Malam tahlil yang kedua, sebelum majlis tahlil, Ustaz Uda menyampaikan kuliah di surau Seksyen 9, beliau menyebutkan Negeri Selangor telah kehilangan seorang ulamak yang berwibawa. Ustaz Uda Kassim pernah membentangkan kertaskerja mengenai zakat dengan dihadiri sama oleh abah yang pada waktu itu sebagai Ahli Majlis Fatwa Negeri Selangor.


Sungguh banyak pengajaran untuk diri ini dan keluarga di saat-saat akhir bersama abah tercinta. Segalanya menimbulkan keinsafan bahawa amalan yang baik akan diperlihatkan oleh Allah pada saat-saat kita sudah tidak berdaya lagi. Kami anak-anaknya sempat memohon keampunan dan kemaafan dari abah. Semuanya bagai telah diatur agar kami dapat membahagiakannya dengan anak dan cucu di sekelilingnya. Abah tahu kami ada di sisinya. Abah sudah tentu aman di sana. Jenazahnya begitu tenang. Nukilan ini sememangnya apa yang kami lihat di sepanjang kami bersama abah di penghujungnya dan aku sebagai anak sulong tidak berenggang bahkan sentiasa bersama abah dari saat abah menghembuskan nafas terakhir hingga abah disemadikan. Hanya meninggalkan abah sementara sahaja bagi menunaikan solat Suboh di surau hospital dan ketika itu pihak ICU sedang menukarkan baju wad dan diganti dengan baju dan kain pelikat yang dibeli oleh adikku Busyra. Ianya menjadi kenangan yang tidak akan dapat dilupakan hingga ke akhir hayatku. Abah menanti kami semua di sana. Berbahagialah abah bersama Pencipta dengan segala jasa dan pengorbanan yang abah tempuh penuh dengan pelbagai dugaan dan cabaran dalam menegakkan martabat sekolah-sekolah agama JAIS hingga diiktiraf dan ramai lulusannya telah melanjutkan pengajian hingga ke negara-negara Timur Tengah seperti Mesir, Jordan, Maghribi dan sebagainya. Dakwah Islamiah seperti pengajian di masjid dan penguatkuasaan undang-undang walaupun tidak disenangi oleh sesetengah pihak antaranya adalah diasaskan oleh abah. Perjuangan abah melalui JAIS menjadi inspirasi kepadaku.


Rakan pengajian abah masa di Deoband, Shahranpur, India termasuk Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan ketika di Mesir mengaji peringkat Masters Syariah Universiti Al-Azhar bersama sekelas dengan Prof Dato' Dr Haron Din. Dengar khabarnya guru saya ini juga baru keluar dari IJN.


Abah pernah sebut perjuangan BTN ku mengingatkannya kepada perjuangannya masa muda-muda dahulu. Aku teringat Dato' Nooh Gadot semasa menjadi Mufti Johor dahulu mengirim salam kepada abah bila berkesempatan.


AL-FATIHAH UNTUK ALLAHYARHAM DATO' HJ MAHMAD MUHTAR BIN HAJI MAHMAD SALEH. Semoga rohnya ditempatkan bersama golongan Rasul, Nabi dan para wali serta salihin. Kami anak-anak dan keluarga berdoa agar kami juga sentiasa diberi hidayah dan berada dalam landasan perjuangan Islam sebagaimana abah tercinta.


TULISAN INI DIDEDIKASIKAN UNTUK KENANGAN SEMUA ANAK-ANAK DAN CUCU-CUCU ALLAHYARHAM. AL-FATIHAH..


Wassalam.


p/s: Ya. Saya menangis. Saya menangis kerana selama hampir 5 tahun saya tidak bekerja adalah kerana saya ingin berbakti kepada abah. Abah juga ketika hayatnya tidak mengizinkan saya jauh darinya. Kini tiada lagi abah yg saya bawa berjalan-jalan mengambil angin. Tiada lagi abah yg saya belikan air kotak Dutch Lady perisa Coffee sewaktu menemani melakukan pemeriksaan rutin di IJN. Tiada lagi abah yg sentiasa duduk di tempat duduk belakang ke mana sahaja saya dan emak keluar menaiki kereta. Tiada lagi abah yg akan sentiasa mendoakan saya sewaktu hendak menghadapi peperiksaan. Tiada lagi abah yg sentiasa menunggu kepulangan saya di rumah. Tugas saya berbakti kepada abah selesai. Dan saya puas tatkala meminta ampun kali terakhir darinya sewaktu abah masih sedar. Jelas kedengaran di telinga saya suara abah mengampunkan segala dosa saya. Jelas juga sikap abah yg masih tidak suka saya menangis. Ya. Semasa hayatnya abah memang tidak suka saya menangis. Kerana selalunya abah juga akan sama menangis. Abah selalu pesan supaya jangan ikutkan perasaan. Tenangkan hati. Pesan abah akan selalu saya ingat.


Sekarang tugas saya beralih kepada berbakti kepada emak. Saya tahu emak sangat sedih walaupun emak jarang menangis di depan anak-anak. Ya. Emak saya seorang yg kuat menahan perasaan. Tapi ketika abah meninggalkan kami, emak hampir rebah. Dan sekarang saya perlu menggembirakan emak. Setiap malam saya akan tidur di katil abah, berbantalkan bantal abah. Ya. Saya kini tidur bersama emak. Kerana sesungguhnya saya tidak mahu emak berasa sunyi.


Pagi tadi saya bersama emak, adik dan makcik saya menziarah kubur abah. Ketika saya melangkah berhampiran pusara abah kaki saya terjerlus ke dalam tanah di pusara abah. Saya terjatuh. Tanah basah kerana hujan lebat melanda Shah Alam. Sebenarnya saya tidak kuat utk ke situ lagi. Kaki saya masih lemah. Namun demi kasih sayang saya turutkan jua. Dan ketika itu airmata saya gugur lagi.


Abah, saya sayang abah. Saya janji akan jumpa abah di syurga. Saya janji.

Rabu, Oktober 21, 2009

124. Abah admitted to KPJ Selangor

Maybe ada yg sudah tahu melalui facebook saya atau belum. Abah saya telah dimasukkan ke KPJ Selangor buat kali keduanya pada hari Ahad lalu. Petang Ahad tu sewaktu sedang asyik bersembang dengan emak, abah tetiba kekejangan. Saya suspek Hypo. Saya call ambulance. Nasib baik kali ni ambulance tu mahu datang. Selalunya tidak. Mungkin sbb abah baru discaj 3 hari dari hospital tersebut agaknya maka diorg yakin utk menghantar bantuan ambulance.


Hari pertama dimasukkan ke wad, paras gula dalam darah abah asyik turun naik. Bila masuk glucose paras naik tapi lepas dua jam jatuh balik ke 1.5. Keadaan berterusan hingga abah dibawa ke ICU. Doktor beritahu kami abah kritikal. Saya rasa terpukul. Rasa sedih yg tiada batasan. Yalah. Selama beberapa tahun ini hidup saya adalah hampir 98% utk kedua orang tua saya. Saya tiada sesiapa lagi utk di entertain selain mereka. Alhamdulillah setelah semalaman di ICU keadaan abah sudah melepasi tahap kritikal. Walaupun begitu kami tetap tidak leka. Sentiasa bergilir-gilir membaca ayat-ayat suci al-Quran. Maklumlah, selain utk kesejahteraan abah suasana di ICU juga sudah memang sedia tidak bagus auranya.


Sepanjang di hospital saya dan emak bergilir-gilir menjaga. Adik beradik saya yg lain juga sama. Sekarang abah telah kembali ke wad biasa. Keadaan abah sudah agak stabil. Tapi abah masih juga kadang-kadang meracau. Jadi kami masih terus membaca ayat-ayat suci al-Quran. Dari bilik 4-bedded kami minta pindah ke single bed supaya senang saya dan emak menunggu. Dan malam ini buat kali keduanya saya akan tidur menemani emak dan abah di hospital. Semasa abah di ICU pun saya tidur di hospital juga. Sejuk sungguh sampai menggigil.


Saya harap kamu doakan kesejahteraan dan kesihatan abah saya ya. Semoga Allah membalas segala jasa baik kamu.


Saya permisi dulu. Abah mahu minum.

Selasa, Oktober 13, 2009

117. Hospitalised

Malam tadi selepas mak abah saya berbuka puasa, abah nampak macam penat. Saya usulkan ke hospital utk rawatan. Yelah kita mana tahu kan apa-apa penyakit dalam badan. Lagi lagi pulak sekarang macam-macam penyakit timbul. Jadi pukul 8 lebih malam tadi saya bawak abah ke KPJ Selangor. Nasib baik dekat je. Dan nasib baik juga memang ada rekod kat situ. So urusan mudah.


Memula doktor suspek buah pinggang sbb perut abah buncit dan pusat sampai terjojol. Saya cuak takut jantung dia problem lagi je. Pastu doktor suspek jangkitan kuman pulak. Dan ketiga doktor suspek denggi sbb suhu badan abah tinggi juga. Demam malam pulak tu. Siang semalam elok je ikut saya jalan pusing-pusing.


So abah terpaksa admitted. Perlu pemantauan rapi sbb abah ni banyak pakej penyakitnya. Lemah jantung la. Kencing manis la. Darah tinggi la. Gout la. Memacam la.


Pagi tadi semasa menghantar emak ke hospital saya teman buat ECG, ultra sound dan X-ray. Lepas selesai semua saya balik rumah sbb nak basuh baju. Petang nanti saya ke sana lagi.


Alamak! Baju yg di laundry dah siap. Nak sidai dulu.


Tata.